MAA Takaful Bhd - Agensi Ikhwan ... Perunding Kewangan Anda

MAA Takaful Bhd - Agensi Ikhwan ... Perunding Takaful Anda ... Takaful Keluarga - Takaful Kesihatan - Takaful Am

Ahad, Jun 30, 2013

Satu kes strok setiap 10 minit

Satu kes strok setiap 10 minit

Saban tahun, kira-kira 15 juta individu di seluruh dunia menderita kerana strok. Dianggarkan 50,000 rakyat Malaysia diserang strok setiap tahun. Angka itu bermaksud secara purata, seorang diserang strok bagi setiap 10 minit.

Menjelang 2020, kadar kematian disebabkan strok di dunia akan meningkat hampir dua kali ganda.

Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia 2003 (WHO), punca utamanya ialah peningkatan jumlah warga emas dan kekurangan kawalan terhadap faktor risiko utama strok, terutama di negara kurang membangun.

Strok atau juga dikenali sebagai angin ahmar adalah punca kematian ketiga di Malaysia. Secara umumnya, penyakit ini bukan hanya memberi impak kepada kualiti kehidupan pesakit, malah ahli keluarga terdekat.
Foto
AZHARI (kiri), Omar (dua dari kiri), Sim (tengah), Jeyaindran (dua dari kanan) dan Hamidon bersama buku khas untuk pesakit AF strok.

Strok adalah kerosakan fungsi otak secara tiba-tiba yang disebabkan sama ada kekurangan pengaliran darah ke otak atau pendarahan di dalam otak.

Penyakit ini boleh diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu yang berlaku selepas pendarahan otak dan strok yang bukan berpunca daripada pendarahan (strok infark). Biasanya strok pendarahan berlaku secara tiba-tiba tanpa isyarat.


Ia lebih berbahaya berbanding strok bukan pendarahan kerana serangannya boleh menyebabkan ajal, manakala peluang pemulihan sepenuhnya tipis.


Pengerusi Atrial Fibrillation Strike Out Stroke (AF sos) Malaysia, Dr Sim Kui Hian berkata, kerajaan dijangka menanggung kos rawatan hampir RM278 juta untuk penghidap penyakit itu dan ia membabitkan 2.13 peratus daripada perbelanjaan yang diperuntukkan untuk kesihatan oleh kerajaan pada 2008.


“Sebenarnya penyakit strok boleh dielakkan melalui pengawalan faktor risiko, iaitu tekanan darah tinggi atau hipertensi.


“Pesakit kencing manis berisiko empat kali ganda, manakala faktor risiko strok lain yang boleh dihindari ialah tabiat merokok, kandungan kolesterol tinggi dan mengalami masalah atrial fibrillation (AF) iaitu degupan jantung tidak tetap.


“Perkara paling penting ialah memastikan paras gula dalam darah dalam keadaan baik dengan pengawalan dan pemantauan yang kerap.


“Pesakit kencing manis mesti mengawal diet, bersenam dan mencapai berat badan sesuai jika mereka berat badan berlebihan dan mengambil ubat untuk kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi dengan teliti mengikut arahan doktor,” katanya ketika melancarkan buku panduan pesakit strok Strike Out in Malaysia di ibu negara.


Buku khusus untuk pesakit strok itu ditulis khas oleh tujuh pakar bertauliah yang berpengalaman luas dalam bidang perubatan dan ia hasil kerjasama Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia dan Persatuan Neurosains Malaysia.


Dengan AF, risiko mendapat strok meningkat kerana kebuk atas jantung seseorang (atrium) tidak mengecut dengan efektif yang menjejas kelancaran pengaliran darah dalam jantung.


Ini menyebabkan darah bertakung dalam atrium dan apabila alirannya terganggu, pembekuan darah boleh berlaku. Darah beku yang terbentuk di atrium boleh terpisah dan bergerak melalui arteri terus ke otak dan menyebabkan strok.


Presiden Persatuan Neurosains Malaysia, Prof Dr Hamidon Basri berkata, AF antara simptom paling biasa menyebabkan berlakunya strok di kalangan masyarakat.


“Antara simptom AF adalah berdebar, keletihan, sakit dada, pengsan, sukar bernafas, pening dan sebagainya. Pesakit yang menghidap AF juga berisiko lima kali ganda untuk mendapat strok ischaemic iaitu pengaliran darah ke otak berkurangan disebabkan arteri (saluran darah) sempit atau tersumbat.


“Ia disebabkan darah beku yang menyekat arteri yang membekalkan darah ke otak. Ada dua jenis darah beku yang menyebabkan sekatan arteri iaitu thrombus dan embolus,” katanya.


Jelasnya, AF boleh menyebabkan jantung seseorang itu berdegup melebihi 200 hingga 300 kali dalam seminit. Satu ketika dulu, AF tidak dilihat sebagai masalah yang mengancam nyawa dan ia kerap dikesan pada orang tua.


“Namun hari ini, AF turut dikesan pada golongan seawal usia 14 tahun. Selain itu, ia kerap terjadi di kalangan orang muda yang masih aktif bekerja, bersukan dan tiada masalah kesihatan (seperti diabetes atau tekanan darah tinggi),” katanya.


Semakin meningkat usia, semakin tinggi risiko diserang AF. Mereka yang berusia 40 tahun ke atas terdedah kepada penyakit ini, tetapi ia lebih banyak dihidapi individu berusia 60 tahun ke atas.


Apabila didiagnos, rawatan AF adalah memberi tumpuan kepada rawatan kadar kawalan irama dan antikoagulan.


Antikoagulan paling penting kerana ia melindungi pesakit AF daripada darah beku yang boleh bergerak dari jantung ke otak serta menyebabkan strok.

Ia berkesan untuk mencegah strok pada pesakit yang menghidap AF dan ia rawatan standard sejak separuh abad lalu.

Bagaimanapun, wujud banyak had dalam penggunaannya seperti pesakit perlu mengawal ketat diet mereka kerana warfarin bertindak balas dengan banyak jenis makanan lazim serta ubatan lain.


Pengambilan warfarin juga memerlukan pesakit ke hospital dengan kerap bagi menjalani pemantauan serta mengambil masa sekurang-kurangnya lima hari untuk mendapatkan kesan antitrombotik yang stabil.


Turut hadir Perunding Kanan Kardiologi dan Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan, Datuk Dr Azhari Rosman, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai dan Ketua Perkhidmatan Kardiologi KKM, Datuk Dr Omar Ismail.


Apakah AF?


  • Apabila ritma denyutan jantung tidak normal.
  • Degupan jantung tidak teratur.
  • Kadar degupan jantung sangat pantas iaitu 350-700 seminit.
  • Atrium tidak mengecut dengan efektif.

    Individu atau pesakit yang terdedah kepada AF
  • Darah tinggi
  • Diabetes
  • Paru-paru
  • Tiroid
  • Buah pinggang
  • Sesak nafas
  • Obes

    Sebab terjadi AF
  • Mereka yang mempunyai sejarah sakit jantung.
  • Individu yang minum arak atau alkohol dan pneumonia.

    Gejala AF
  • Jantung berdebar
  • Lesu
  • Sakit dada
  • Pening kepala
  • Pengsan
  • Sesak nafas

    Faktor risiko AF
  • Usia: lazimnya semakin usia bertambah, risiko AF meningkat.
  • Gender: AF lebih banyak dihidapi lelaki berbanding wanita.
  • Keadaan jantung: Masalah injap jantung, serangan jantung dan kegagalan jantung berfungsi
  • Faktor lain: Diabetes dan darah tinggi

  • Sumber: Harian Metro Sihat