MAA Takaful Bhd - Agensi Ikhwan ... Perunding Kewangan Anda

MAA Takaful Bhd - Agensi Ikhwan ... Perunding Takaful Anda ... Takaful Keluarga - Takaful Kesihatan - Takaful Am

Ahad, Jun 30, 2013

Jemaah haji dan umrah berusia lebih 50 tahun terdedah kepada pneumonia ketika menunaikan ibadat wajib ini ...

Pneumonia sukar dikesan

Di peringkat global, penyakit pneumokokal diiktiraf sebagai punca utama kesakitan dan kematian di seluruh dunia menyebabkan 1.6 juta kematian setiap tahun.

Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terbaru yang diterbitkan pada April 2011, kematian akibat influenza dan pneu- monia di Malaysia mencecah angka 9,417 atau 9.20 peratus daripada jumlah kematian yang juga punca kematian ketiga di belakang sakit jantung koronari dan strok.

Pengarah Institut Perubatan Respirotari, Datuk Dr Abdul Razak Muttalif berkata, 90 peratus kematian disebabkan pneumonia atau radang paru-paru berlaku kepada mereka berusia 65 tahun ke atas, selain kanak-kanak berusia bawah lima tahun.


“Penyakit ini sukar dikesan lebih awal kerana simptomnya sama dengan demam dan selesema. Kanak-kanak bawah lima tahun dan orang dewasa lebih 65 tahun antara yang berdepan risiko tinggi dijangkiti penyakit ini, manakala golongan individu lanjut usia pula paling ramai diserang pneumonia setiap tahun.

“Pada 2002, hampir 65,000 orang meninggal dunia akibat pneumonia di peringkat global dan 90 peratus daripada kematian membabitkan golongan berusia.

“Pelbagai faktor mendorong penularan penyakit pneumokokal dalam kalangan warga tua, termasuk masalah perubatan yang menyebabkan mereka lebih terdedah kepada pneumonia, selain sakit jantung kronik, masalah paru-paru seperti sekatan pulmonari kronik atau chronic obstructive pulmonary disease (COPD), asma, penyakit ginjal atau hati, kanser dan diabetes (kencing manis),” katanya.


Menurutnya, selain warga tua, jemaah haji dan umrah berusia lebih 50 tahun terdedah kepada pneumonia ketika menunaikan ibadat wajib ini.

Penyelidikan mengesahkan pneumonia adalah punca utama kemasukan ke hospital ketika musim haji dengan kadar kemasukan hospital 19.7 peratus.


Ibadat haji dikerjakan berjuta-juta orang dari serata dunia yang berkumpul di kawasan khusus untuk tempoh masa tertentu, sekali gus memudahkan penyebaran penyakit berjangkit.

“Memandangkan pneumonia merebak di kalangan manusia menerusi titisan pernafasan daripada bersin atau batuk, musim haji mewujudkan persekitaran yang menggalakkan penyebaran penyakit.

“Walaupun berbahaya, penyakit pneumokokal ialah punca kematian yang boleh dicegah menerusi vaksin. Kejayaan besar dicapai dalam bidang pemvaksinan sejak dipelopori dua abad lalu.

“Vaksin dihasilkan bukan saja berjaya menjauhkan penyakit, tetapi juga kaedah melindungi kesihatan awam yang menjimatkan kos.

“Lebih 30 penyakit berjangkit umum dicegah menerusi program imunisasi, dan vaksin membantu menghindari kehilangan upaya jangka panjang selain mencegah 2.5 juta kematian setahun,” katanya.

Pemvaksinan adalah kaedah paling berkesan untuk memerangi penyakit pneumokokal dan kemajuan berterusan dicapai dalam pembangunan vaksin pneumokokus untuk meningkatkan perlindungan lebih banyak kumpulan berisiko dan terhadap strain (keturunan) tambahan penyakit.

Manfaat pemvaksinan melebihi kos yang dikaitkan dengan pembangunan dan pemberiannya. Ia juga pilihan yang menjimatkan kos kerana mampu mencegah penyakit dan kemasukan di hospital selain mengurangkan kos rawatan, penjagaan dan pemulihan.

Sebab itu imunisasi sangat penting untuk mencegah penyakit pneumokokal dan pelbagai penyakit lain yang mengancam nyawa.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perubatan dan Unit Penyakit Berjangkit, Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Christopher Lee berkata, faktor luaran seperti merokok, pengambilan alkohol berlebihan dan keadaan hidup seperti menghuni untuk jangka panjang di rumah penjagaan juga boleh melemahkan fungsi sistem imunisasi, menyebabkan mereka lebih terdedah kepada risiko jangkitan dan meningkatkan kebarangkalian mengalami kerumitan serta kematian.

“Warga tua menghadapi risiko lebih tinggi dijangkiti pneumonia menerusi sentuhan dengan cucu mereka yang pergi ke tadika dan juga melalui pergaulan.

“Pneumonia perolehan masyarakat ialah pneumonia yang dijangkiti akibat pergaulan dengan orang ramai. Walaupun organisma menyebabkan gejala ini lazimnya kurang berbahaya berbanding pneumonia yang diperoleh di hospital atau unit rawatan rapi, masalah perubatan ini masih dianggap serius dan semakin menular,” katanya.

Penyakit pneumokokal yang menyebabkan pneu- monia dan penyakit invasif lain adalah antara punca kesakitan utama dalam kalangan golongan dewasa seluruh dunia dengan lebih separuh kejadian penyakit ini dilaporkan di Asia.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kadar warga tua (berusia 60 tahun dan ke atas) di rantau ini dijangka meningkat daripada 9.9 peratus pada 2010 kepada 23.6 peratus pada 2050.

Ia adalah sekumpulan penyakit rumit yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae (S. pneumoniae), dengan lebih 90 serotaip (strain) bakteria yang dikenali setakat ini walaupun hanya sebilangan kecil menyebabkan sebahagian besar kejadian penyakit di seluruh dunia.