MAA Takaful Bhd - Agensi Ikhwan ... Perunding Kewangan Anda

MAA Takaful Bhd - Agensi Ikhwan ... Perunding Takaful Anda ... Takaful Keluarga - Takaful Kesihatan - Takaful Am

Isnin, Oktober 31, 2011

Minta tambah kuota jemaah haji


Minta tambah kuota jemaah haji


2011/10/31

Tabung Haji bincang dalam perjumpaan tahunan dengan Arab Saudi 

JEDDAH: Malaysia sentiasa mengambil kesempatan untuk membincangkan isu mengenai penambahan kuota haji menerusi perjumpaan tahunan dengan pihak berkuasa haji di Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata beberapa bulan selepas musim haji, biasanya April, beliau bersama wakil Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan ke Arab Saudi untuk mengadakan perjumpaan atau 'post mortem' dengan kerajaan Arab Saudi untuk meninjau prestasi pelaksanaan ibadah haji yang lalu.


Beliau berkata, Arab Saudi akan diwakili Kementerian Haji dan Wakaf, serta badan yang bertanggungjawab mengenai urusan haji, termasuk pihak yang menyambut ketibaan jemaah di lapangan terbang, pengangkutan, penginapan, dan ziarah, sehingga kemudahan di Arafah, Muzdalifah dan Mina yang akan membuat komen serta teguran mengenai perjalanan musim haji. 
Katanya, setiap perjumpaan itu pihaknya akan mengambil kesempatan untuk mengutarakan isu mengenai penambahan kuota jemaah haji Malaysia yang dibenarkan kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji setiap tahun. 

“Isu kuota ini fenomena sejagat, semua negara di seluruh dunia menghadapi fenomena ini, untuk membawa jemaah seramai mungkin menunaikan haji di Tanah Suci,” katanya kepada kumpulan media Tabung Haji ketika ditemui di pejabat Konsulat Jeneral Malaysia (Hal Ehwal Haji) di sini, kelmarin, sebaik tiba di sini dari Kuala Lumpur. 

Jamil Khir berkata, ketika ini terdapat 5.7 juta pendeposit Tabung Haji, dengan 733,000 daripadanya mendaftar dan masih menunggu kebenaran untuk menunaikan haji, manakala kuota yang dibenarkan tahun ini ialah kira-kira 28,000, meningkat kira-kira 2,000 berbanding tahun lalu. 


Beliau berkata, kerjasama yang diberikan kerajaan Arab Saudi itu juga berkait rapat dengan hubungan akrab Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan kerajaan itu. 

Katanya, Tabung Haji adalah institusi Islam yang unik dan hebat apabila ia bukan saja bertanggungjawab menyempurnakan ibadah pelanggan, pada masa sama memberikan pulangan baik kepada pendeposit, apabila keuntungan institusi itu mencecah berbilion ringgit. 

Katanya, selain itu keuntungan yang diberikan kepada pendeposit juga mengambil kira tanggungjawab menunaikan kewajipan menyempurnakan tuntutan pembayaran zakat. 

“Ini yang perlu dipertahankan, untuk menjadikan Tabung Haji bukan sekadar institusi biasa, tapi sebuah institusi yang dapat beri balik pulangan kepada umat Islam,” katanya. 

Januari lalu, Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor mengumumkan pembayaran bonus 5.5 peratus bagi 2010 yang berjumlah RM1.33 bilion, dan peningkatan pembayaran bonus itu dibuat berikutan prestasi kewangan institusi itu yang lebih baik tahun lalu. – BERNAMA


Sumber: Berita Harian, 31 Oktober 2011