MAA Takaful Bhd - Agensi Ikhwan ... Perunding Kewangan Anda

MAA Takaful Bhd - Agensi Ikhwan ... Perunding Takaful Anda ... Takaful Keluarga - Takaful Kesihatan - Takaful Am

Rabu, April 06, 2011

Utusan Malaysia Online - Kos tunai haji kekal "dianggarkan lebih 500,000 pendeposit TH memohon untuk mengerjakan haji pada tahun ini"

Utusan Malaysia Online - Kos tunai haji kekal

JERAI 3 April – Kos menunaikan ibadat haji di tanah suci Mekah tahun ini kekal iaitu sebanyak RM9,980 seperti tahun lepas bagi setiap jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pengekalan kos itu secara tidak langsung membabitkan tambahan subsidi oleh kerajaan untuk setiap jemaah sebanyak RM4,360 berbanding RM3,060 tahun lalu.

Katanya, keputusan tersebut mengambil kira pertimbangan daripada pelbagai sudut dan pandangan termasuk keperluan pendeposit di Lembaga Tabung Haji (TH).

“Di sebalik peningkatan kos pengangkutan, makan minum dan penginapan di tanah suci, kerajaan tetap menimbangkan terutamanya keperluan pendeposit haji yang berusia dan berharap menunaikan haji.

“Ia juga mengambil kira prestasi pencapaian TH yang mampu mengendalikan dengan sebaik mungkin urusan ini serta keuntungan yang diperoleh pada 2010. Jadi kita mengekalkan tambang haji tahun terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Gurun Pusat di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Jamil Khir, tambang tersebut hanya untuk jemaah yang pertama kali menunaikan haji sahaja.

“Bagi mereka yang pernah menunaikan haji perlu membayar tambang penuh iaitu RM14,340 kerana dikecualikan mendapat subsidi. Ini sebagai memberi peluang mereka yang pertama kali ingin menunaikan haji,” katanya.

Katanya, kos sebenar tersebut juga masih rendah berbanding negara jiran seperti Singapura sebanyak RM16,000, Brunei (RM17,000), Thailand (RM14,000) dan Indonesia RM10,000 hingga RM14,000.

Tambah beliau, dianggarkan lebih 500,000 pendeposit TH memohon untuk mengerjakan haji pada tahun ini.

“Namun semua ini bergantung kepada kuota yang akan dibenarkan oleh kerajaan Arab Saudi nanti.

“Pada masa yang sama kita akan berusaha memohon kuota sebanyak mungkin tetapi masih dalam lingkungan kemampuan TH menguruskannya demi keselesaan jemaah mengerjakan ibadat itu kelak,” katanya.