Ejen Insurans Prudential Mahu Piket Isnin
KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Insurans Nyawa Prudential (Prulia) mendakwa seramai 2,000 ejen insurans nyawa Prudential Assurance Malaysia Bhd. (Prudential) akan mengadakan piket di ibu negara lusa.
Prulia melalui satu kenyataan memberitahu, piket itu bertujuan menunjuk rasa tidak puas hati ribuan ejen Prudential terhadap sikap pihak pengurusan syarikat berkenaan berhubung beberapa isu sebelum ini.
“Piket ini akan bermula dari Renaissance Hotel ke Menara Prudential di Jalan Sultan Ismail di sini selepas mesyuarat dan rundingan dengan pihak pengurusan tidak berjaya.
“Matlamat piket meliputi semua isu yang memberi kesan kepada ahli termasuk dalam aspek pembangunan produk, pembayaran komisen dan insentif, hak manfaat, faedah serta etika,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, antara isu yang mahu diketengahkan oleh Prulia menerusi piket tersebut adalah sikap tidak berhemat pihak pengurusan dan kontrak yang diubah secara unilateral.
Kata kenyataan itu, isu lain yang mahu diketengahkan termasuk kontrak ejen dipaksa ditandatangani dalam tempoh sebulan, seramai 63 pengurus unit diarah mengosongkan pejabat dalam tempoh seminggu dan keangkuhan Ketua Pegawai Operasi.
Dakwa kenyataan itu lagi, Prudential mempunyai seramai 13,000 ejen di seluruh negara dan seramai 7,000 ejen terbabit termasuk pengurusan merupakan ahli Prulia.